Di Sebalik Pintu

Teruja menghulur naskhah
Terkandung kalam indah
Martabatnya di dasar
Namun matlamatnya tak sesekali tersasar

Kerutan dahi menumpu ketelitian
Bibir tertib menyusun kalimah kiasan
Hembusan nafas menenangkan keadaan
Walhal ertinya tidak muncul dalam kamus kefahaman

Dijelaskan mengikut bait perkataan
Menyelam dalam jasad yang resah
Gempa melanda tubuh yang pasrah
Menggetarkan sendi-sendi berdarah

Degupan jantung yang kencang
Memaksa kantung air pecah
Sayu hati mendalam
Redup mata memandang

Sahabat
Kau menitiskan air mata
Ikhlasnya rintihanmu meyakinkanku
Bahawa ketulusan yang kau pegang
Hanya satu

Apa sebenarnya di sebalik pintu?
Serumpun sisa duka
Yang bersandar di sebaliknya
Menanti daun pintu dikuak seluasnya

Melimpah rasa yang tulus
Dihempap kebuntuan
Digaul persoalan
Mengapa segalanya menjadi rentetan?

Bertenanglah sahabat
Sinaran mula berkelip
Kehijauan masih melambai
Warna-warni dunia kian menonjol
Cungkillah di mana tenggelamnya
Sebuah ibrah

Comments

Post a Comment